Sebagai seorang peniaga, tak kira apa jua yang kita niagakan sama ada servis ataupun produk pasti adakalanya kita buntu untuk mengembangkan lagi perniagaan atau dengan lebih tepat lagi mencari pelanggan baru untuk membeli produk kita.
Keadaan ini menyebabkan, kita pantang terjumpa nombor telefon ataupun group baru pasti kita rasa gatal tangan untuk menghubungi satu persatu nombor telefon orang yang kita sendiri tak kenali.
Stranger.
Dari mata kasar, kelihatannya kita telah berusaha keras untuk menjual produk kita, namun akhirnya usaha itu menemui jalan buntu.
Hasil daripada kerja keras itu, orang membenci dan cuba menjauhkan diri daripada kita. Mengapa?
Jawapannya mudah: tak kenal, maka tak cinta.
Seni memikat hati pelanggan sama sahaja seperti seni memikat hati bakal isteri.
Sebagai analogi mudah, seorang lelaki bertemu dengan seorang perempuan. Mereka tak pernah berjumpa dan bertegur sapa. Tiba-tiba, lelaki tersebut melamar perempuan yang baru pertama kali ditemui itu untuk berkahwin.
Sudah pasti lamaran itu ditolak bulat-bulat.
Jadi bagaimana kita hendak memikat hati bakal isteri kita itu?
Ada 4 fasa yang perlu kita lalui;
NAMPAK. Perempuan itu perlu nampak kita dahulu. Kita harus mencari jalan untuk selalu terserempak dan memunculkan diri di hadapannya.
KENAL. Bila dah selalu lalu, pasti lama-lama dia akan mula mengambil tahu tentang kita.
SUKA. Bila dah kenal, bolehlah kita berkongsi cerita dan pengalaman serta meluangkan masa bersama-sama.
Namun 3 fasa ini tidak cukup untuk kita terus melamar si dia.
JATUH CINTA DAN PERCAYA. Inilah saat yang terbaik untuk melamar bakal isteri kita.
Kita boleh aplikasikan teknik dan seni yang sama untuk memikat hati bakal pelanggan kita.
NAMPAK. Kita harus sentiasa memberi manfaat setiap hari di mana-mana juga media sosial yang kita ada hingga akhirnya orang nampak kita dan apa yang kita lakukan.
KENAL. Bila dah selalu nampak, pasti lama-lama orang akan mula mengambil tahu tentang kita.
SUKA. Bila dah kenal, orang akan mengikuti kita hinggakan bila satu ketika kita berhenti berkongsi ilmu dan manfaat, orang mula tercari-cari kita.
PERCAYA. Bila orang dah mula percaya dan yakin terhadap kita, orang akan beli apa sahaja yang kita jual. Zaman sekarang kebanyakan orang membeli produk bukan kerana produk yang dijual, tetapi kerana produk yang di jual.
Jadi tugas kita sekarang ialah terus memberi dan sebarkan manfaat kepada orang lain supaya kita dapat menukar status pelanggan itu daripada Haters kepada Fan.
Semoga bermanfaat.
Artikel disediakan oleh:
Ummu Maryam
Share this post