Ahmad Isa
Bestseller Millionaire Circle Podcast
015: Apa Beza Busy & Progress?
0:00
-14:09

015: Apa Beza Busy & Progress?

Saya ingin kongsikan satu cerita.

Dahulu saya seorang arkitek. Saya pelajar ijazah sarjana muda seni bina di UTM Skudai dan bergraduasi pada tahun 2012. Selepas tamat belajar, saya bekerja selama dua tahun.

Apabila mula bekerja, saya mula sedar bahawa dunia pekerjaan tidak sama seperti semasa belajar.

Ketika belajar, saya mempunyai kebebasan untuk membuat reka bentuk. Saya mempunyai kebebasan untuk bertumbuh (grow) dari satu tahap ke tahap berikutnya.

Pada tahun pertama, saya melukis menggunakan tangan.

Pada tahun kedua, saya sudah boleh menggunakan komputer.

Seterusnya, pada tahun ketiga saya sudah boleh render, iaitu membuat reka bentuk realistik menggunakan perisian komputer. Saya juga sudah boleh buat persembahan dalam bentuk video.

Saya tahu kemajuan saya ketika belajar.

Tetapi, semasa bekerja, saya seperti tersangkut (stuck) pada tahap yang sama, dalam jangka masa yang lama. Sebagai contoh, saya ada tugasan membuat lukisan. Maka, itu sahajalah kerja saya sepanjang tahun. Setiap hari, melukis dan melukis. Habis lukisan pertama, bersambung lukisan kedua. Habis lukisan kedua, sambung lukisan ketiga pula.

Lukisan saya juga tidak bertumbuh, disebabkan kewangan.

Katakanlah saya buat satu lukisan yang unik, tetapi selepas itu terpaksa dipotong atas sebab kekangan bajet. Perlu kembali kepada realistik. Pelanggan kata mahal sangat, potong. Majikan kata mahal sangat, potong.

Potong, potong, potong, potong.

Akhirnya bangunan tinggal petak sahaja. Maka, tiada perkembangan di situ.

Saya ada buat kajian. Kemajuan seorang arkitek sangat lambat. Untuk menjadi arkitek tahap 3 mengambil masa sekurang-kurangnya 5 tahun pengalaman. Kemudian, perlu ambil peperiksaan, barulah dapat gelaran AR.

Proses juga sangat jauh dan lama. 

Saya ini tidak sabar untuk maju ke hadapan. Saya tidak mahu terus tersangkut di satu tempat yang sama. Saya mahu ke tahap seterusnya. 

Akhirnya, saya letak jawatan sebab tiada kepuasan dalam bekerja dan mula mencari apa yang sebenarnya saya mahukan.

Saya pergi mengembara. 

Selepas balik dari mengembara, barulah saya faham tentang kemajuan dan sibuk ini.

Saya ada satu soalan.

Ada tak kenalan kita yang dia tersangkut di tempat yang sama, pada pangkat yang sama, dalam tempoh yang lama, tetapi tiada kemajuan. Maksudnya, gaji dia sama dalam tempoh yang lama. Setiap hari dia bekerja, tetapi tiada kemajuan.

Apa yang dia buat sebenarnya?

Ini yang dimaksudkan dengan terperangkap dalam kesibukan. 

Bagaimana untuk tahu sama ada kita ada kemajuan atau tidak? Boleh tengok pada pangkat, gaji. Ada perubahan atau sama sahaja. 

Kita boleh pilih untuk bergerak maju dengan laju atau perlahan, itu tiada masalah. Yang menjadi masalah apabila kita kekal tersangkut di tempat yang sama. 

Orang kata ‘rat race’ atau perlumbaan tikus.

Tikus, atau hamster, kan ia berlari di dalam sangkar. Tetapi sangkarnya itu bulatan. Ia berlari, berlari dan penat, tetapi hakikatnya ia masih di tempat yang sama. 

Analoginya mudah.

Ia berlari, berlari dan berlari. Selesai berlari dan penat, tuannya beri makanan. Sama juga seperti kita. Kita bekerja, bekerja dan bekerja. Selesai bekerja, majikan beri gaji.

Kita pun rehat dan enjoy.

Pergi makan, tengok wayang dan habiskan duit. 

Bulan depan sambung lagi bekerja. Kerja, kerja, kerja, kerja, dapat gaji, pergi makan, tengok wayang, pergi shopping. Selepas itu tiada duit dan ulang semula kitaran yang sama.

Inilah yang dipanggil rat race. Kalau boleh, kita tidak mahu masuk ke dalam kitaran ini.

Jadi, apa yang perlu kita buat?

Kita kena ada perancangan masa depan. Kita kena lakarkan sendiri. Ada suatu quote mengatakan, “Sekiranya kita tidak merancang untuk diri kita, kita akan dimasukkan ke dalam perancangan orang lain”. 

Contohnya, ada sebuah syarikat.

Pemilik syarikat merancang menjadikan syarikat itu bernilai jutaan ringgit. Maka, dia memerlukan orang yang tiada perancangan untuk masuk ke dalam perancangan dia.

Mari kita muhasabah diri sebentar. Adakah kita ada perancangan, atau kita sedang berada dalam perancangan orang lain?

Ada satu lagi kata-kata daripada Jim Rohn.

kata beliau, “Work harder on yourself than you do on your job”.

Bermaksud, kita kena bekerja keras untuk menambah nilai diri berbanding menyiapkan kerja di tempat kerja. Sebab apa? 

Sambung Jim Rohn, “If you work on your job, you will make a living. If you work on yourself, you will make a fortune.”

Bermaksud, kalau kita fokus pada bekerja sahaja, kita boleh membayar bil. Tetapi, sekadar bayar bil sahajalah. Sekadar bayar sewa tiap-tiap bulan.

Sebaliknya, kalau kita kerja untuk diri sendiri, kita boleh mula membina kekayaan. 

Bolehkah buat dua-dua? Boleh.

Buatlah dua-dua.

Satu, kita pergi kerja, fokus untuk bayar bil. Dalam masa yang sama, kita fokus juga kepada diri sendiri. Kita jual buku, kita menulis di Facebook, kita bertumbuh. Itu ialah permulaan untuk membina kekayaan.

Jadi, kita ada dua sumber pendapatan.

Satu pendapatan daripada bekerja, satu lagi daripada bisnes. Fokus pada kedua-duanya sehingga pendapatan daripada bisnes menjadi dua kali ganda daripada pendapatan kerja. Pada masa itu, kita ada pilihan untuk berhenti. Bukannya sudah ada pekerjaan yang bagus, lepaskan kerja sebab mahu kerja sendiri dan baru bermula. Bukan begitu. 

Baiklah, jadi, bagaimana untuk kita tahu kita ada kemajuan? 

Kita kena ada disiplin. Disiplin untuk menulis catatan kemajuan di dalam jurnal harian. Beli apa-apa sahaja buku nota, boleh dapatkan di DIY atau mana-mana kedai. Catatkan apa-apa sahaja idea yang terlintas atau ilmu yang kita pelajari. Apa-apa sahaja ilmu yang kita dapat, kena tulis di mana-mana supaya ilmu itu boleh diikat.

Dengan cara ini, kita boleh tahu sama ada pada hari itu kita ada kemajuan, sekurang-kurangnya 1% melebihi semalam, ataupun tidak.

Kalau ada sistem, contohnya OnPay, lebih mudah.

Saya track pergerakan jualan saya menggunakan OnPay, sejak 2019 sehingga sekarang. Adakah hari ini lebih daripada semalam? Adakah bulan ini lebih daripada bulan lepas?

Saya juga boleh merancang untuk jualan bulan seterusnya. Mahu kekal atau gandakan? Mana-mana pun boleh atas pilihan masing-masing.

Inilah perbezaan antara sibuk dan maju.

Sibuk ini seperti kita tidak meletakkan destinasi. Contohnya, kita memandu. Kita sibuk. Kita memandu ke sana, ke sini, tetapi tidak tahu hendak ke mana. Ini dipanggil sibuk

Kita sangat mudah terperangkap dalam kesibukan.

Hari-hari pergi kerja. Pergi pagi. Balik malam. Tetapi kita tidak tahu apa yang kita buat. Inilah sibuk.

Sebaliknya kemajuan ialah apabila kita track.

Hari ini kita di tahap ini. Esok, di tahap ini. Lusa pula, eh, jatuh. Kenapa jatuh ya? 

Oh ya, jatuh ini suatu keperluan ya. Ia suatu rencah untuk kita berjaya. Sentiasa ramalkan kejatuhan. Dalam webinar, saya ada kata, kita kena jangkakan sembilan kejatuhan, sebelum kita berjaya pada kali kesepuluh. 

Kegagalan bukan pilihan. Kegagalan itu pasti. Mesti kita lalui. Nikmati kegagalan itu. Apabila gagal, bererti kita dalam proses untuk berjaya.

Baik, saya ada satu soalan.

Cuba teka majoriti manusia mencuba berapa kali sebelum dia menyerah kalah? Adakah dia mencuba sekali, atau dua kali, atau tiga kali?

Jawapannya, majoriti manusia di muka bumi ini menyerah kalah sebelum mencuba. Belum cuba apa-apa, sudah angkat bendera putih. Susahlah, malaslah, buang masa aku sahaja. Padahal belum dicuba, terus sahaja menyerah kalah.

Kalau kita buat dan gagal, bermakna kita ada kemajuan.

Tetapi kalau tidak buat apa-apa, itulah sibuk. Sibuk buat apa? Tanyalah diri sendiri. Apa yang disibukkan sangat, sehingga terabai keluarga, terabai kesihatan?

Mentor saya kata, kita boleh pokai (tidak berduit) dalam keadaan tidak sibuk, dan kita boleh sibuk tetapi jangan pokai. Sepatutnya masa sibuk, duit kita ada banyak. Masa tiada duit pula, masa kita banyak. Boleh dihabiskan bersama-sama keluarga.

Tetapi kita tidak begitu. Sudahlah sibuk, tidak berduit pula.

Jadi apa kena buat? Kita kena rancang destinasi hidup untuk 5 tahun akan datang, untuk 10 tahun akan datang supaya kita tidak termasuk ke dalam perancangan orang lain.


Artikel disediakan oleh:
Iffah Syuqaira

Discussion about this episode